Thursday, July 9, 2009

PPSMI 2012

Assalamualikum dan Salam sejahtera

Hari ini saya akan mengupas sedikit berkaitan isu PPSMI yang akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat menjelang tahun 2012. Sebelum itu saya ingin memberi sedikit pandangan berkaitan "tuduhan" yang dilemparkan kepada saudara Z dalam blog beliau. Beliau mengatakan bahawa saudara Z merupakan seorang yang "racist". Pada pandangan saya itu merupakan satu tuduhan yang melulu tanpa usul periksa. Sekenal saya dengan sahabat saya ini, beliau merupakan seorang yang bercakap berdasarkan fakta dan hujah yang kukuh. Untuk pengetahuan saudari (saya fikir), bidang pengajian kami mendidik kami untuk bercakap berdasarkan bukti dan fakta. Kami tidak akan membuat kenyataan tanpa sebarang fakta dan bukti yang kukuh. Namun begitu saya tidak menyalahkan saudari kerana saudari masih muda dan banyak lagi yang perlu saudari pelajari. Saya berharap saudari akan berjaya dalam hidup saudari.

Berbalik kepada isu asal ideologi saya pada kali ini, iaitu berkaita PPSMI 2012. Pertama sekali, ingin saya menyatakan pendirian saya berkaitan isu ini. Untuk pengetahuan saudara dan saudari saya merupakan golongan pelajar yang paling awal menerima pendidikan PPSMI ini. Ternyata saya sangat bersetuju dengan pendirian PPSMI ini kerana ia telah banyak membantu pelajar-pelajar dalam menguasai Bahasa Inggeris. Namun begitu, saya tidaklah boleh menjadi seseorang yang mementingkan diri sendiri tanpa mengira atau mempertimbangkan bagaimana kedudukan orang lain dalam situasi yang sama dengan saya.

Berdasarkan pembacaan dan pengamatan saya, PPSMI berjalan lancar dan boleh diterima pakai oleh golongan masyarakat bandar. Namun begitu, di kawasan pedalaman dan kawasan-kawasan kampung, perkara ini menjadi satu beban kepada mereka. Menurut kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli akademik veteran seperti Prof Di Raja Ungku Aziz, pendekatan PPSMI ini telah meningkatkan jurang antara penduduk luar bandar dan penduduk bandar. Sekiranya diperhatikan secara jangka masa panjang, perkara ini akan memberikan kesan buruk kepada Sosio Ekonomi negara kita. Maka dengan itu, haruslah kita mengetepikan pendekatan PPSMI ini kerana ia telah "gagal". Selain dari jurang antara penduduk luar bandar dan bandar, soal memartabatkan bahasa Melayu juga antara sebab PPSMI dimansuhkan. Menurut kajian juga, semenjak PPSMI di laksanakan, penguasaan pelajar dalam bahasa Melayu merosot. Maka dengan itu perlulah diberi perhatian oleh kerajaan kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan.

Apabila PPSMI ini dimansuhkan, ini tidak bermakna pihak kerajaan menolak kepentingan bahasa Inggeris selaku bahasa yang penting di Malaysia dan didunia. Pihak kerajaan sedar bahawasanya bahasa Inggeris itu penting tetapi melalui pendekatan PPSMI ia kurang berkesan dan perlu diberi pendekatan lain. Selain itu, dengan mansuhnya PPSMI, kerajaan dapat memartabatkan bahasa Melayu dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris secara selari.

Maka disini ingin saya tekankan bahawa, tindakan kerajaan memansuhkan PPSMI bukanlah kerana kerajaan tidak mengambil kira kepentingan bahasa Inggeris selaku bahasa penting di era globalisasi ini, tetapi ia merupakan salah satu langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, bahasa ibunda bagi kaum Cina dan India, meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan pendekatan baru, serta merapatlan jurang antara penduduk bandar dan penduduk luar bandar supaya, untuk jangka masa panjang ia tidak akan menjejaskan Sosio Ekonomi negara kita.

Namun begitu, disebalik niat murni ini, saya agak sangsi dengan pendekatan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI pada tahun 2012. Ini menunjukan bahawasanya terdapat permainan politik dalam isu ini. Akan tetapi perkara ini tidak dapat dibuktikan secara "zahirnya". Mungkin benar tahun 2012 itu dipilih kerana perlunya ada pemansuhan beransur-ansur tetapi saya percaya perkara ini dapat diselesaikan menjelang 2011. Moga-moga tidak ada isu permainan politik yang diketengahkan oleh pihak kerajaan. Sekiranya ada, hanya tuhan yang tahu.


Maka dengan ini, saya menyambut baik usaha pihak kerajaan untuk memansuhkan PPSMI.

"...ideologi anak bangsa..."

0 ideologi bernas:

Post a Comment